Friday, January 24, 2014

Cabaran Tahun Melawat Malaysia 2014

Setelah lebih setahun kempen promosi Tahun Melawat Malaysia 2014 bermula seawal Januari 2013, kini tibalah masanya kita menyambut Tahun Melawat Malaysia 2014. Ada yang kata kita masih tidak bersedia untuk menyambut Tahun Melawat Malaysia pada tahun ini. Tapi bagi saya sama ada kita bersedia atau pun tidak kita mesti laksanakan juga ‘Misi Nasional’ ini demi mencapai sasaran pelancong sebanyak 36 juta pada tahun 2020.
Setiap kali kita ingin menganjurkan acara besar seperti Tahun Melawat Malaysia kita pasti berhadapan dengan cabaran dan rintangan walaupun cabarannya berbeza. Cabaran dan rintangan datang tanpa diundang dan tanpa kita sedari. Namun segala cabaran mesti ditangani dengan baik dan berhemah.
Bagi saya cabaran yang paling utama adalah bagaimana kita ingin mengembalikan keyakinan pelancong untuk datang melawat Malaysia selepas beberapa insiden yang melibatkan keselamatan dan keselesaan pelancong terjejas.
Isu seperti kes jenayah yang melibatkan keselematan pelancong asing dan banjir besar yang berlaku di pantai timur semenanjung Malaysia  yang berlaku dipenghujung tahun 2013 adalah antara isu besar yang membuatkan pelancong hilang keyakinan untuk memilih negara ini untuk melancong. Itu belum lagi soal sentimen politik yang dimainkan oleh sesetengah pihak yang tidak bertanggung jawab dengan merancang demonstrasi menggulingkan Kerajaan.
Selain kita sibuk membuat promosi di dalam dan luar negara dengan pelbagai kempen mempromosikan destinasi dan acara bersempena Tahun Melawat Malaysia, kita juga harus bersedia dengan pelbagai plan tindakan dan pengurusan krisis untuk memulihkan keyakian pelancong yang terhakis dek insiden yang diluar jangka tersebut.
Saya percaya pihak yang bertanggungjawab telah sedia menjalankan peranan mereka dan berharap mereka akan lebih proaktif dalam mengangani cabaran tersebut.
Soalnya sekarang, sebagai masyarakat Malaysia yang bertanggungjawab sudahkah kita bersedia dengan cara kita sendiri untuk membantu menjayakan Tahun Melawat Malysia 2014. Usah kita cuma meletakkan beban menghadapi cabaran itu kepada pihak Kerajaan sahaja. Demi untuk masa depan industri pelancongan yang lebih cemerlang, kita harus sama-sama berganding bahu menyokong aspirasi pelancongan negara. Jika kita tidak mampu berikan wang ringgit mahupun keringat, cukuplah sekadar berikan senyuman kepada pelancong. Kita adalah ‘Tuan Rumah’ Tahun Melawat Malaysia. Maka dengan itu sebagai tuan rumah yang baik, sama-samalah kita sambut kedatangan pelancong dengan mesra dan senyuman. Moga-moga dengan sedikit sumbangan kita itu, ia mampu memberikan implikasi yang besar kepada imej pelancongan negara sekali gus memulihkan keyakinan pelancong kepada negara kita.

Monday, January 13, 2014

Mengekal Prestasi Pelancongan Negara



Tahun 2013 sudah berlalu dan kini 2014 lembaran baru bakal kita tempuhi. Semua sudah sedia maklum 2014 merupakan tahun penting bagi industri pelancongan apabila kita sekali lagi menyambut Tahun Melawat Malaysia 2014. Tatkala masuk ke tahun baru, langkah disusun rapi agar tidak tempang di detik permulaan.  Kita juga mengharapkan tahun baru ini  industri pelancongan akan bermula dalam satu rentak permulaan yang baik. Statistik kedatangan pelancong asing ke negara ini yang kian meningkat saban tahun menunjukkan prestasi cemerlang industri pelancongan negara. Semoga sasaran 28 juta pelancong pada tahun 2014 ini dapat direalisasikan.

Tahniah saya ucapkan kepada semua penggiat industri pelancongan khususnya ‘orang-orang kuat’ pelancongan di Kementerian Pelancongan dan Tourism Malaysia. Keringat dan usaha anda akhirnya berjaya menampakkan hasil yang sungguh membanggakan.

Sejajar dengan kenyataan daripada  Pertubuhan Pelancongan Dunia (UNWTO) yang meramalkan peningkatan sekitar 3-4 % dalam ketibaan pelancong antarabangsa di seluruh dunia bagi sepanjang tahun 2013 berbanding tahun sebelumnya, Malaysia turut mendapat percikan nikmat daripada perkembangan positif industri pelancongan dunia.

Hal ini selaras dengan Pelan Transformasi Pelancongan Malaysia 2020 iaitu mencapai sebanyak 36 juta orang pelancong dengan jumlah pendapat sebanyak RM 168 bilion menjelang tahun 2020. Apa yang pasti  adalah penting bagi Malaysia untuk menjadi lebih fokus kepada mengekalkan kadar peningkatan hasil seorang pelancong berbanding daripada hanya lebih mementingkan kepada kadar peningkatan kedatangan pelancong.

Bagi menarik lebih ramai segmen pelancong berpendapatan tinggi, kita mestilah meningkatkan jaringan perhubungan kepada pasaran-pasaran utama.  Saya yakin usaha ini telah dijalankan oleh pihak Tourism Malaysia  dengan  meningkatkan frekuensi penerbangan kepada 6 negara utama iaitu China, India, Jepun, Korea Selatan, Australia dan Taiwan, selain membangunkan rangka kerja bagi peruntukan hak penerbangan untuk melicinkan kemudahan laluan-laluan utama tersebut dan  laluan lain yang berpotensi.

Alhamdulillah, syukurlah kepada yang Maha Esa, kerana kita masih mampu menjadi negara pelancongan yang maju walaupun terpaksa berhadapan dengan pelbagai krisis kebelakangan ini.

Rupa-rupanya di sebalik rintangan dan cabaran ada kesenangan di sebaliknya yang kita kadang-kadang terlepas pandang. Nampaknya krisis yang melanda selama  ini telah memperkukuhkan semula komitmen bagi menjalin kerjasama lebih rapat lagi penggiat industri dan mendorong mereka supaya lebih berinovasi dalam mengekalkan pertumbuhan industri pelancongan negara.

Apa yang pasti prestasi yang memberangsangkan ini membuktikan kita bersedia mendepani kesukaran yang berlaku dalam industri ini sekali gus berupaya mencatatkan pertumbuhan yang lebih besar pada masa akan datang.  Saya percaya dengan ketahanan, inovasi, kualiti perkhidmatan yang cemerlang dan mutu produk yang tinggi, industri pelancongan bakal menjadi penyumbang utama dalam perjalanan kita ke arah menjadikan Malaysia sebuah negara maju menjelang tahu 2020.

Namun dalam masa yang sama kita tidak seharusnya berhenti berusaha dan berpuas hati dengan pencapaian yang ada sekarang ini. Masih banyak lagi usaha yang perlu kita lakukan demi memastikan industri pelancongan negara terus ‘subur’. Biarlah apa yang kita lakukan pada hari ini bukan sahaja memberikan manfaat jangka pendek malah untuk jangka panjang industri pelancongan kita. Ingatlah bahawa tanpa usaha dan tanggungjawab bersama yang berterusan, kejayaan yang kita kecapi hari ini pasti akan musnah di ‘tangan’ kita sendiri juga.

Teruskan usaha kita dan sama-samalah kita mengangkat martabat pelancongan negara kita ke satu tahap yang paling cemerlang.