Tuesday, February 5, 2013

Tun Mahathir & Langkawi Berpisah Tiada…

Peluang bersarapan pagi di Langkawi bersama mantan Perdana Menteri  Tun Dr Mahathir Mohamad dan Pengerusi MK Land Holding Berhad, Tan Sri Datuk Mustapha Kamal baru- baru ini ternyata memberikan satu inspirasi baru dalam persepsi saya  terhadap dunia pelancongan.
Meskipun pertemuan pagi itu tidak dirancang, namun atas dasar persahabatan, Tun Mahathir terpanggil untuk menerima jemputan Tan Sri  Datuk Mustapha Kamal untuk bersarapan pagi di atas bumbung hotel Kuala Melaka Inn Langkawi bagi meninjau projek terbaru MK Land Holding Berhad sambil berbincang secara santai tentang isu-isu pelancongan di Langkawi.
Mungkin ramai yang tidak sedar bahawa Tun Mahathir juga adalah 'arkitek' kepada industri pelancongan negara.  Projek  unggul seperti Menara Berkembar Petronas KLCC,  Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Pusat Pentadbiran Kerajaan Putrajaya umpamanya ternyata menjadi ikon pelancongan negara sekali gus berjaya menarik kunjungan ramai pelancong.
Pulau Langkawi yang mempunyai nilai sentimental buat Tun Mahathir juga tidak terlepas daripada terkena tempias sentuhan ‘tangan ajaib'  beliau.  Projek berinspirasikan pelancongan seperti Kereta Kabel di Gunung Mat Chincang,  Telaga Harbour,  Taman CHOGM, Galeri Perdana dan banyak lagi menjadi bukti betapa besarnya sumbangan Tun Mahathir dalam mengangkat martabat Pulau Langkawi sebagai Bandaraya Pelancongan. Tidak cukup dengan infrastruktur pelancongan serba sempurna, pelbagai acara besar seperti LIMA dan Le Tour De Langkawi  turut meracakkan lagi pertumbuhan industri pelancongan di Langkawi.
Berbalik kepada sesi minum pagi bersama Tun Mahathir tersebut, beliau ada menyatakan bahawa Langkawi adalah destinasi pelancongan yang hebat. Katanya Langkawi sudah punya produk pelancongan yang terbaik. Apa yang penting katanya  ialah promosi yang lebih sikit agar pelancong dapat mengetahui apa yang ada di Langkawi.
Begitulah cinta dan prihatannya Tun Mahathir terhadap pembangunan Pulau Langkawi. Sambil berseloroh, saya dan beberapa rakan media yang lain mencadangkan agar Tun Mahathir menjadi   'Sultan Langkawi'... Sambil tertawa  mendengar gurauan itu beliau  ternyata berpuas hati terhadap pembangunan yang ada di Langkawi.
Cuma beliau agak terkilan apa bila ada projek-projek yang berpotensi  tidak dapat dilaksanakan dek kerana karenah birokrasi pihak tertentu sekali gus menjadi hambatan kepada pembangunan pelancongan di Langkawi. 
Namun Tun Mahathir bukanlah seorang yang mudah berputus asa.  Idea kreatifnya tidak pernah putus seperti air yang mengalir. Kini khabarnya beliau menternak kerbau di  Langkawi bagi menghasilkan keju dari susu kerbau. 
Meskipun sesi sarapan pagi itu berlarutan hampir 2 jam, tapi masa terasa begitu pantas berlalu. Tun Mahathir yang diiringi oleh isteri tercinta Tun Siti Hasmah, ternyata begitu romantis dan sempat bergurau senda sebelum pulang.
Insan bernama Mahathir Mohamad mungkin sukar dicari ganti. Malah Langkawi mungkin lesu tanpa sentuhan emas beliau.  Umpama benih yang baik, tercampak ke langit jadi bintang, tercampak di laut jadi pulau… Maka Pulau Langkawi dan Tun Mahathir berpisah tiada.