Friday, August 24, 2012

Industri Homestay Perlu Nafas Baru

Baru-baru ini saya berkesempatan mengunjungi Homestay Desa Murni di Temerloh Pahang dan menghadiri program Seminar Hala Tuju Pelancongan Homestay Malaysia.  Suasana desa yang tenang dan damai jelas terasa tatkala menjejakkan kaki ke Homestay Desa Murni. Mana tidaknya, dipelopori oleh Pengerusi Persatuan Homestay Malaysia, Dato’ Haji Sahariman Hamdan, program homestay di sini jelas tampak berbeza dengan prasarana serba sempurna. Tahniah saya ucapkan.
Saya percaya usaha untuk membangunkan sesebuah program tidaklah semudah seperti yang disangkakan. Ada onak dan ranjau yang perlu ditempuhi. Namun disebalik cabaran dan rintangan itulah tersembunyinya rahmat dan nikmat yang amat bersar ertinya. Begitu juga dengan produk pelancongan homestay yang kian mendapat tempat dalam kalangan pelancong di negara ini. Saya percaya dengan pelbagai dugaan yang ditempuhi selama ini, industri  homestay yang kita ada kini adalah antara model program homestay yang terbaik di dunia dan menjadi ikutan negara-negara lain.
Kesempatan bertemu dengan Dato’ Haji Sahariman banyak merungkai persoalan tentang program Homestay yang membelenggu fikiran saya. Ramai yang mengeluh bila mana program homestay seolah-olah hilang identiti dan lari daripada hala tuju sebenarnya. Rasa keluh kesah kian memuncak tatkala timbul pula produk-produk pelancongan baru seperti Kampung Stay dan Holiday Home yang turut menggugat program Homestay.
Saya turut mengajukan persoalan tersebut kepada beliau, namun dengan tenang, Dato’ Haji Sahariman sebagai orang lama dalam industri Homestay menjawab “I Don’t Care!” yang bermaksud dia tidak peduli apa ‘orang lain’ kata. Apa yang penting baginya ialah industri homestay perlu diberi nafas baru agar ianya sentiasa  subur dan memberikan manfaat kepada setiap pengusaha homestay.
Tambahnya lagi, pengusaha homestay harus berani melakukan transformasi dalam program homestay yang diadakan.  Tidak hanya menawarkan pengalaman inap desa sahaja, pengusaha homestay juga harus tampil dengan idea –idea baru bagaimana untuk menarik lebih ramai lagi pelancong ke homestay. Selain kemudahan asas yang sempurna dan selesa, pengusaha homestay juga harus lebih kreatif dalam mewujudkan pakej-pakej homestay dan dalam masa yang sama bijak menjalinkan kerjasama dengan penggiat industri pelancongan seperti agensi pelancongan serta media massa.
Saya percaya industri pelancongan homestay mempunyai potensi yang cukup besar dalam menjana pertumbuhan industri desa dan industri pelancongan negara. Setidak-tidaknya dengan adanya produk pelancongan homestay ini, masyarakat desa bakal menerima sumber pendapatan tambahan sekali gus menjana pertumbuhan ekonomi masyarakat desa.
Dalam hal ini, saya menyeru agar semua pihak yang terlibat dalam industri homestay dapat sama-sama berganding bahu dan bersatu suara dalam membangunkan industri pelancongan homestay negara. Jom berubah sebelum rebah!
 

Tuesday, August 7, 2012

Kembara Ziarah Ramadan Buraqoil Bersama Media


Team Kembara Ziarah Ramadan Buraqoil  bersama media.
Kembara merentas Banjaran Titiwangsa dari Kuala Lumpur- Kelantan-Perak -Kedah sememangnya satu pengalaman yang cukup mengujakan. Peluang mengikuti  program  Ziarah Ramadan anjuran syarikat minyak Buraqoil dengan kerjasama majalah Santai  baru-baru ini tidak saya lepaskan. Walaupun berlangsung dalam bulan puasa, namun ia menjadi satu pengalaman yang cukup berharga. Dengan menaiki kenderaan pacuan empat roda dan pelbagai guna, konvoi tujuh kenderaan membawa kira-kira 34 anggota termasuk 14 wakil media menghadiahkan pengalaman berguna khususnya dari aspek pelancongan.



Aziz Desa & Ana Raffali bersama anak-anak kampung dengan semangat mengibarkan Jalur Gemilang

Semangat setia kawan ... Ana Raffali bersama wakil media.
Program yang julung kali diadakan ini turut diserikan lagi dengan kehadiran artis popular Ana Raffali dan tentunya Duta Buraqoil iaitu pengacara TV popular - Aziz Desa. Bersandarkan kepada misi amal program ini bertujuan mewujudkan kesedaran awam ke atas jenama BURAQOIL melalui aktiviti amal sempena Ramadhan – dengan menjadikansekolah-sekolah tahfiz, anak-anak yatim dan sekolah-sekolah agama serta golongan fakir miskin sebagai kumpulan sasar.  Selain itu program ini juga bertujuan mempromosikan jenama BURAQOIL kepada masyarakat setempat tentang perniagaan Stesen Minyak BURAQOIL yang wujud di kawasan luar bandar.
Apa yang pasti  program ini  Membantu dan meringankan beban golongan kurang bernasib baik Team Ziarah Ramadan ini untuk membuat liputan sepanjang perjalanan yang akan bermula daripada Kuala Lumpur pada 2hb Ogos 2012 menuju ke negeri Kelantan di Kuala Krai, Machang, Kota Bharu untuk Majlis Pelancaran Program Ziarah Ramadhan 1433 Hijrah dan penyerahan sumbangan kepada sekolah-sekolah terlibat.  Destinasi seterusnya ke Sg. Petani, Kedah pada 4hb Ogos untuk penyerahan sumbangan kepada kumpulan sasar terlibat. Perak dijangka menjadi destinasi terakhir bagi penyerahan sumbangan kepada kumpulan sasar iaitu pada 5hb Ogos sebelum melabuhkan tirai penutup bagi Program Ziarah Ramadhan ini di Hotel Corus Kuala Lumpur pada 10hb Ogos 2012. 
Terima kasih kepada semua yang  terlibat dalam program 4 hari ini khususnya Team Buraqoil, IPTB Sdn Bhd, Red Adventure, KTC, YB Dato' Saarani Mohamad, 1981 Tapah Resthouse serta media-media yang terlibat - TV3, TV9, Bernama TV, TV AlHijrah, Sinar Harian, Kosmo, Metro dan banyak lagi...

Ana Raffali bergambar bersama kakitangan Buraqoil

 


Singgah sebentar di Kg Raban, Lenggong Perak.