Thursday, June 28, 2012

Agensi Haram Buat Duit, Agensi Halal Gigit Jari…




Terlebih dahulu saya ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih buat semua   yang tidak henti-henti memberi sokongan dan maklum balas sama ada yang positif mahupun sebaliknya.
Memang sukar untuk memenuhi citarasa semua namun saya akan pastikan semua khalayak  mendapat sesuatu yang cukup berharga daripada apa yang kami paparkan. Pada keluaran yang lalu menerusi  artikel bertajuk Agensi Halal, Agensi Haram – Situasi Kritikal Agensi Pelancongan Tempatan, saya menerima banyak maklum balas daripada pelbagai pihak. Ada yang menyokong  dan tidak kurang juga ada yang tidak bersetuju dengan apa yang saya nyatakan. Walau apapun tanggapan anda, realitinya sekarang ini kemelut yang melanda industri pelancongan ketika ini tidak dapat dibendung lagi.
Ada juga individu yang saya temui menyatakan lesen agensi pelancongan yang dikeluarkan oleh pihak Kementerian Pelancongan sudah tidak ada maknanya lagi. Ada lesen atau tidak itu tidak penting bagi mereka. Apa yang penting mereka boleh buat ‘duit’.  Selama ini mereka  telah mengaut keuntungan yang banyak dengan menguruskan pelbagai pakej pelancongan di dalam dan luar negeri sama ada di internet mahupun secara terus.  Bila ditanya mengapa tidak mohon lesen dan jalankan operasi secara ‘halal’? Jawabnya mudah saja, “Macam mana nak operasi secara ‘halal’. Nak mohon lesen susah sangat. Lesen outbound pun dibekukan.  Banyak betul birokrasi yang menyusahkan . Modal pula  tinggi !”
Inilah antara keluhan yang saya dengar.  Namun mungkin banyak lagi keluhan dengan pelbagai alasan lain yang saya tidak dengar.  Hakikatnya bukan mereka tidak mahu memohon lesen secara sah, tapi karenah birokrasi yang membebankan itulah yang menyebabkan mereka meluat untuk mengikut saluran yang betul.
Sudah tiba masanya pihak Kementerian Pelancongan   mengkaji semula Akta Industri Pelancongan 1992 untuk memastikan akta tersebut relevan untuk digunapakai pada zaman sekarang.  Banyak perkara-perkara yang tidak termaktub dalam akta tersebut antaranya seperti  penjualan pakej-pakej pelancongan di internet dan juga penjualan pakej pelancongan oleh pihak pengusaha produk pelancongan.  Alangkah elok kira pihak kementerian juga  dapat mempermudahkan urusan permohonan lesen pelancongan untuk manfaat bersama sekali gus memperkasakan lagi industri pelancongan negara. Renung-renungkanlah apa yang dilaungkan oleh Perdana Menteri  kita yang berbunyi “ Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan”! 
Dalam masa yang sama agensi pelancongan yang ‘halal’ terpaksa bersaing dengan agensi pelancongan ‘haram’.  Ada ketikanya mereka yang menjalankan operasi secara haram ini mengaut keuntungan yang jauh berlipat kali ganda daripada agensi pelancongan yang berlesen. Akhir sekali agensi pelancongan yang berlesen ini terpaksa berputih mata dan menggigit jari melihat  keuntungan yang sepatutnya mereka dapat  mengalir ke poket orang lain.


Tuesday, June 12, 2012

Selamatkah Destinasi Pelancongan Kita?

Salah satu faktor utama yang sering diambil kira ketika memilih destinasi pelancongan adalah faktor keselamatan. Jika tahap keselamatan disesuatu destinasi percutian itu diragui, maka percutian yang umumnya bermatlamatkan mencari ketenangan dan kedamaian pasti bertukar menjadi ketakutan.
Faktor keselamatan destinasi percutian yang ingin kita kunjungi sememangnya menjadi keutamaan dalam merancang percutian. Bila sebut soal keselamatan, kita tidak boleh berkompromi lagi... Mana mungkin kita memilih destinasi pelancongan yang kita tahu bakal mengancam nyawa kita malah harta benda kita. Lebih-lebih lagi destinasi percutian luar negara yang banyak berlalu kekacauan, huru hara atau yang dilanda wabak penyakit.
Namun sebelum kita sibuk melihat negara luar yang berhadapan dengan pelbagai kemelut keselamatan di destinasi pelancongan, cuma kita lihat dulu tahap keselamatan destinasi pelancongan kita khususnya kepada pelancong tempatan mahupun antarabangsa.
Baru-baru ini saya dikejutkan dengan komen daripada seorang rakan saya yang berasal dari Perancis mengenai  tahap keselamatan dalam kalangan pelancong yang bercuti ke negara kita. Sudah tiga kali dia datang melancong ke sini tapi malangnya setiap kali percutiannya di sini berakhir dengan kisah sedih apabila anda sahaja  harta bendanya  yang hilang. Kali pertama kameranya dicuri dan yang terbaru wangnya yang disimpan di dalam bilik hotel pula lesap ! Itu baru kisah tentang kehilangan harta benda. Belum lagi kisahnya ditipu oleh pemandu teksi.  Begitu juga dengan kes-kes yang lebih dahsyat yang berlaku baru-baru ini  kepada pelancong dari Eropah  yang diperkosa di sebuah negeri di pantai timur apabila mereka  pulang dari Pulau Perhentian. Malah ketika saya berada di sebuah Pondok Polis Pelancong di MATIC baru-baru ini saya melihat anda beberapa orang pelancong sedang sibuk membuat laporan polis tentang kejadian kecurian dan peras ugut di Kuala Lumpur.
Saya termenung panjang... Jika situasi ini adalah realiti apa yang berlaku di negara kita, saya rasa amat kecewa. Rasa kecewa bercampur malu yang teramat sangat. Tak tahu bagaimana ingin saya terjemahkan  rasa hati saya ini.
 Aduhai warga Malaysia yang budiman... Walaupun isu ini nampak remeh dah terpinggir, namun ia memberi implikasi yang cukup besar kepada industri pelancongan kita. Kerajaan telah membelanjakan jutaan ringgit untuk mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan terunggul di dunia, tapi malangnya sikap segelintir masyarakat kita yang tidak bertanggungjawab ini telah menghancurkan imej dan nama baik negara kita.
Saya ambil contoh kecil tentang apa yang berlaku dalam konteks pelancongan negara kita. Tapi biarlah kita berfikir dalam konteks yang lebih besar. Usah tunggu atau menunding jari mencari salah siapa. Usah biarkan tanggungjawab ini diserahkan kepada pihak tertentu sahaja. Saya sering nyatakan bahawa tugas untuk memperkasakan dan memartabatkan industri pelancongan ini adalah tugas kita bersama. Pihak polis umpamanya telah melakukan tugas mereka sebaik mungkin dalam menjaga keamanan negara. Kita sebagai masyarakat yang bertanggungjawab juga harus memainkan peranan kita sebaik mungkin dalam memastikan destinasi pelancongan kita selamat sepanjang masa. Saya percaya dengan komitmen semua pihak, imej destinasi pelancongan kita akan sentiasa dipandang secara positif sekali gus memberi keyakinan kepada pelancong untuk melawat negara ini dengan tenang.


Wednesday, June 6, 2012

Untunglah Pemandu Teksi...

Dalam beberapa bulan yang lalu saya ada memaparkan beberapa kisah pemandu teksi yang tidak bertanggungjawab yang menipu pelancong.  Hasil daripada paparan itu menampakkan hasil yang amat positif apabila ada tindakan susulan segera yang diambil oleh pihak berkuasa seperti Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dan beberapa agensi berkaitan.
Baru-baru ini pula Kementerian Pelancongan mengambil inisiatif murni dengan melaksanakan program pemandu teksi sebagai ‘Duta Teksi Pelancongan’. Tahniah kepada Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr Ng Yen Yen yang memahami denyut nadi rakyat khususnya pelancong dengan melancarkan program tersebut.
Saya yakin usaha yang telah diambil oleh Kementerian Pelancongan tersebut bakal memberikan implikasi yang positif dalam memberi nafas baru kepada industri pelancongan negara. Bersandarkan kepada objektif untuk mewujudkan kesedaran kepada pemandu teksi dan pengusaha teksi terhadap pentingnya peranan mereka dalam mempromosikan negara bagi meningkatkan kedatangan pelancong ke Malaysia, program ini diharapkan mendapat sambutan baik dalam kalangan pemandu teksi. Program ini juga menjadi saluran usahasama di antara Kementerian Pelancongan dan penggiat industri pelancongan dengan pemandu-pemandu teksi dalam membangunkan industri pelancongan negara.
Saya difahamkan,  tugas sebagai Duta Teksi Pelancongan bukanlah satu tugas yang boleh diambil mudah. Mereka bertanggungjawab untuk mempromosikan keunikan dan keindahan Malaysia sebagai destinasi pelancongan terpilih dan bertaraf antarabangsa serta menjadi rujukan oleh pelancong untuk mendapatkan maklumat mengenai destinasi pelancongan negara.
Sehubungan itu pihak kementerian telah menetapkan beberapa kriteria asas untuk pemandu teksi yang berhasrat untuk menjadi Duta Teksi Pelancongan.  Selain syarat asas seperti warganegara Malaysia, berumur 21-60 tahun, berperibadi baik dan kemas, mereka juga perlu berpengetahuan mengenai industri pelancongan. Mereka yang terpilih juga akan diwajibkan mengikuti satu kursus khas Duta Teksi Pelancongan.
Baguslah jika program murni kerajaan ini disambut baik oleh semua pemandu teksi. Untunglah pemandu teksi zaman sekarang. Selain dapat pendapatan dengan membawa penumpang, mereka juga kini boleh menyumbang kepada pembangunan industri  pelancongan negara dengan cara yang tersendiri.
Namum bagi saya apa yang lebih penting adalah kita mewujudkan budaya murni yang lebih semulajadi dalam kalangan pemandu teksi agar lebih ‘mesra pelancong’ sepanjang masa. Bukan sekadar jadi Duta Teksi Pelancongan secara ‘terpaksa’ dek kerana mengejar imbuhan yang diberikan sahaja. Saya percaya kebanyakkan pemandu teksi di Malaysia ini terdiri daripada kalangan orang yang baik-baik dan bertanggungjawab sekali gus boleh dinobatkan sebagai Duta Teksi Pelancongan. Cuma apa yang membimbangkan adalah sikap segelitir pemandu teksi yang tidak bertanggungjawab yang mencemarkan nama baik serta imej teksi di negara kita.
Untuk itu saya sekali lagi mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program Duta Teksi Pelancongan ini khususnya buat wagra Kementerian Pelancongan Malaysia dan Tourism Malaysia. Semoga usaha murni kalian menjadi aspirasi buat semua rakyat Malaysia yang bernaung dibawah kibaran Jalur Gemilang.