Monday, August 22, 2011

Mengenal Potensi Pantai Beserah

Oleh : Azlie Halim

Kira-kira enam tahun yang lalu saya pernah menjejakkan kaki ke sebuah pantai yang luar biasa. Sebuah pantai yang punya keunikan tersendiri yang sukar ditemui di tempat lain. Terletak tidak jauh dari pusat bandar Kuantan, Pantai Beserah sememangnya punyai daya tarikannya yang tersendiri.

Tentu ada yang tertanya-tanya, apa istimewanya pantai ini?  Apa yang menarik sangat tempat ini  sehinggakan ia pernah menjadi ikon pelancongan dalam bahan promosi pelancongan negeri Pahang.

Jika diamati pantai ini biasa sahaja. Malah ada lagi pantai lain yang jauh lebih indah dan cantik jika dibandingkan dengan pantai ini. Perkara utama yang menjadikan pantai ini istimewa daripada perspektif pelancongan adalah kereta kerbau.

Jika negeri Melaka terkenal dengan kereta lembunya, Pantai Beserah terkenal dek kereta kerbaunya. Pantai Beserah merupakan sebuah desa nelayan yang terkenal dengan hasil lautnya termasuk menjadi pengeluar pelbagai produk hasil laut seperti ikan masin. Penggunaan kereta kerbau sebagai pengangkutan untuk kerja-kerja pemunggahan ikan dari perahu ke tempat pendaratan ikan adalah satu-satunya teknik pengangkutan yang dianggap unik. Teknik pengangkutan menggunakan kereta kerbau ini bukan sahaja dilihat berupaya membantu memudahkan nelayan mengangkut hasil tangkapan ikan malah menjadi tarikan pelancongan.

Tidak hairanlah jika ada pelancong yang datang dari jauh semata-mata untuk melihat aktiviti pemunggahan ikan di sini. Difahamkan tidak ada lokasi lain di dunia ini yang menggunakan kerbau untuk aktiviti pemunggahan ikan dari perahu selain daripada lokasi ini.

Namun keunikan ini tidak kekal lama... Kini segalanya sudah berakhir. Kunjungan saya ke pantai Beserah baru-baru ini membuktikan bahawa riwayat hidup ’kereta kerbau’ sudah tamat di pantai ini. Apa yang tinggal hanyalah cebisan kereta kerbau yang tersadai di tepian pantai.

Walaupun aktiviti penangkapan ikan masih aktif di kawasan ini, namun ianya tidak semeriah dahulu. Suatu ketika dahulu pantai ini meriah dengan aktiviti pemunggahan ikan. Anak-anak kecil turut sama membantu. Begitu juga dengan kunjungan pelancong yang datang untuk melihat keunikan yang ada di sini. Suasananya umpama pesta ! Meriah dan penuh dengan keseronokan.

Tatkala saya menjejakkan kaki di Pantai Beserah baru-baru ini, kemeriahan itu sudah tiada lagi. Hanya kesepian yang menyelimuti pantai ini. Beberapa buah perahu dilihat tersadai di pinggir pantai.

Saya sempat bertanya kepada seorang nelayan yang sedang berehat di pinggir pantai ini. Menurutnya aktiviti pemunggahan ikan menggunakan kereta kerbau sudah lama berakhir di pantai tersebut. Khabarnya kira-kira empat hingga lima tahun yang lalu. Namun tidak pula dikhabarkan mengapa aktiviti itu terhenti. Mungkin dia ada alasan yang tersendiri. Atau mungkin dia juga tidak terdaya menanggung rasa sedih melihat nasib penghuni pantai ini.

Walau apapun alasannya, saya melihat Pantai Beserah merupakan satu produk pelancongan yang seharusnya dipertahankan. Daripada perspektif pelancongan, Pantai Beserah mempunyai keistimewaannya yang tersendiri.

Memanglah Pahang sudah punya banyak produk pelancongan lain yang lebih berpotensi seperti Cherating, Taman Negara, Genting Highland, Pulau Tioman dan banyak lagi. Namun usaha memulihara Pantai Beserah sebagai produk pelancongan berpotensi seharusnya tidak dipinggirkan.

Kedudukannya yang strategik menjadi aset penting dalam menjayakan pantai ini sebagai produk pelancongan. Aktiviti nelayan di kawasan ini juga harus dilihat secara kreatif dalam merancakkan aktiviti pelancongan di sini.

Sebenarnya Pantai Beserah masih boleh ’diselamatkan’. Percayalah dengan usaha daripada pelbagi pihak termasuk agensi kerajaan seperti Kementerian Pelancongan, Tourism Malaysia dan Kerajaan Negeri, pantai ini masih boleh dimajukan sebagai produk pelancongan yang berpotensi.

Pihak Kerajaan Negeri umpamanya boleh mengeluarkan sedikit peruntukan untuk membeli beberapa ekor kerbau bagi membolehkan nelayan menggunakan kaedah lama tersebut dalam aktiviti mengangkut hasil laut. Manakala pihak Kementerian Pelancongan dan Tourism Malaysia mungkin boleh mewujudkan program homestay di desa nelayan tersebut. Bukan itu sahaja, jika produk pelancongan ini berjaya ’dihidupkan’ kembali, agensi-agensi pelancongan tempatan juga boleh mendapatkan manfaatnya dengan menjual pakej-pakej pelancongan tersebut kepada pelancong sama ada dari dalam dan luar negara.

Bagi mempromosikan produk pelancongan ini, peranan Tourism  Malaysia mungkin boleh diaplikasikan dengan mengadakan pelbagai acara berkaitan dengan aktiviti kereta kerbau ini sebagai tarikan pelancongan. Acara seperti pelancaran pakej homestay kampung nelayan dan  pakej ’Jom Naik Kereta Kerbau’ mungkin boleh diadakan secara kreatif dalam usaha mempromosikan produk pelancongan ini.  Usaha ini mungkin dilihat sukar, namun saya percaya dengan komitmen dan kerjasama semua pihak ianya mampu memberikan manfaat untuk banyak pihak.

Kita mengharapkan satu usaha yang terbaik daripada semua pihak tidak kira pihak Kerajaan mahupun swasta dalam memastikan produk pelancongan berpotensi ini tidak akan terus ditelan zaman. Walau apapun harapan kita terhadap Pantai Beserah, kita hanya mampu berserah kepada ketentuan Ilahi.

Sejarah Pantai Beserah

Setelah kematian anaknya iaitu Cik Timah, Haji Senik (penduduk asal Kuantan) telah membuat keputusan meninggalkan Kampung Teruntum yang banyak meninggalkan kisah-kisah sedih. Beliau kemudiannya berpindah ke sebuah kawasan di utara Teruntum. Setelah membuat sebuah penempatan baru, kawasan ini pula diserang sejenis penyakit yang dikenali sebagai "hawar". Semua penduduk di kawasan ini bercadang untuk berpindah ke tempat lain tetapi Hj. Senik meminta mereka bersabar dan berserah kepada Allah SWT. Kerana sikap mesyarakatnya sentiasa bertaqwa dan berserah kepada Allah SWT, maka tempat ini dipanggil "Beserah" sehingga sekarang.

Cara untuk ke sini

Pantai Beserah atau Pekan Beserah, salah satu desa nelayan di Pahang, dihubungi dengan jalan darat dari Kuantan atau Kemaman. Ia terletak 8 km dari Kuantan menuju Kemaman, Terengganu oleh jalan pesisiran laut.  

Aktiviti setempat


Pengunjung dapat menangkap ikan, membuat "keropok lekor" dan sebagainya Selain itu, berbagai aktiviti air dapat dilakukan di Pantai Beserah, seperti berenang, meluncur, berjemur dan berlayar.

Friday, August 19, 2011

DESTINASI PELANCONGAN NEGARA KURANG MESRA MUSLIM?

Dalam tinjauan saya ke beberapa lokasi tumpuan pelancong di ibu kota Kuala Lumpur baru-baru ini, kami mendapati kemudahan untuk pelancong Muslim seperti surau atau bilik solat di beberapa premis pelancongan khususnya pusat membeli-belah dan hotel masih kurang memuaskan.    
Keadaan surau yang daif dan kecil di kompleks membeli-belah di sekitar kawasan Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Masjid India umpamanya memberikan gambaran yang negatif terhadap negara lebih-lebih lagi dalam konteks Malaysia sebagai negara Islam. Bukan sahaja ruang solat yang terlalu sempit dan daif malah pengguna terpaksa mengambil wuduk di dalam tandas yang kotor.  Keadaan menjadi semakin kritikal ketika bulan Ramadhan tatkala surau-surau tersebut menjadi tumpuan khususnya pelancong Muslim yang datang ke destinasi pelancongan tersebut  untuk membeli-belah dan ingin mengerjakan ibadat solat.
Dalam konteks pelancongan, saya melihat  destinasi pelancongan di Malaysia masih belum boleh dikategorikan sebagai destinasi pelancongan mesra Muslim sepenuhnya. Selain keadaan surau dan papan tanda surau yang masih kurang ‘mesra Muslim’, lokasi penginapan dan hotel juga masih banyak yang tidak mempunyai tidak ada arah kiblat dan menyediakan surau yang selesa untuk pelancong Muslim. Begitu juga dengan sajian makanan dihidangkan tidak semuanya benar-benar halal dan mendapat pengiktirafan sijil halal dari JAKIM serta kemudahan tandas yang tidak mesra bagi pengguna Muslim.

Untuk rekod, pelancong Muslim di seluruh dunia menyumbang tujuh peratus daripada kira-kira AS$2.5 trilion (RM8.5 trilion) yang dibelanjakan setahun sepanjang percutian mereka. Justeru saya percaya bahawa industri pelancongan Muslim mempunyai potensi besar dalam menyumbang kepada kepesatan industri pelancongan dunia masa kini.  
Trend pasaran pelancongan Muslim dunia mengalami perubahan besar selepas berlakunya Tragedi 11 September di bumi Amerika Syarikat. Persepsi negatif negara Amerika Syarikat terhadap masyarakat Muslim turut menjadi hambatan kepada pelancong Muslim untuk melancong ke negara tersebut. Justeru pelancong Muslim khususnya yang datang dari negara Timur Tengah dan Arab telah mengalihkan tumpuan mereka ke negara lain khususnya di rantau Asia Tenggara. Ini menyebabkan kesan ketara kepada pasaran pelancongan di rantau ini. Jumlah kemasukan pelancong Asia Barat  ke negara ini juga meningkat mendadak, iaitu daripada 186,821 orang pada 2006 kepada 245,302; pada 2008 (264,338) dan Januari - September 2009 (252,756 orang). 

Dalam pada   kebanyakan negara di seluruh dunia mengejar potensi untuk ‘memikat’ pelancong Muslim, kita sebagai sebuah negara yang mempunyai banyak kelebihan dalam menguasai pelancongan Muslim tidak harus alpa dengan kelebihan  yang negara kita ada.  Apa yang penting, potensi pelancongan Muslim di Malaysia terbuka luas dengan faktor penyumbang lain seperti dasar liberal Malaysia yang menawarkan keselesaan dalam pelbagai segi termasuk senang mendapatkan makanan halal, kemudahan tempat beribadat, kestabilan politik, dan kepelbagaian produk pelancongan, selain program lebih agresif bagi pasaran negara Asia Barat atau benua lain, harus dieksploitasi sepenuhnya bagi menarik lebih ramai pelancong Muslim ke negara ini. 

Sehubungan itu saya menyarankan agar agensi yang berkaitan seperti Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), JAKIM dan Kementerian Pelancongan agar dapat sama-sama memantau kemudahan-kemudahan untuk pelancong Muslim di negara ini.  Penglibatan agensi-agensi terbabit diharapkan dapat mengubah landskap produk pelancongan negara agar tampil lebih ‘mesra pelancong Muslim’ sekali gus memberikan gambaran positif kepada negara Malaysia yang mendukung agama Islam sebagai agama rasminya.